| Home | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7

buah bicara minda buat mencambah idea...

Rasuah Boleh Hancurkan Negara
 
Rasuah merupakan satu penyakit masyarakat yang dikatakan tidak akan dapat dihapuskan secara mutlak. Ia hanya mampu dikurangkan ke tahap minimum yang boleh. Selagi ada pemberi, selagi itulah akan ada penerima.
 
Perbuatan rasuah sangat tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab kerana ia melibatkan maruah dan harga diri si pelaku itu sendiri. Perasuah adalah seorang yang tidak beramanah, dan dia akan dipandang hina oleh Islam dan masyarakat yang bertamadun.

 

Rasuah boleh menghancurkan negara dan umat. Ia merupakan “virus” yang akan memporak-perandakan sistem tugas dan prosedur kerja yang telah ditetapkan. Seseorang yang menerima rasuah tidak akan dapat menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan baik, dan menyebabkan organisasinya gagal mencapai matlamat asalnya. Ia juga akan memberi kesan kepada individu lain dalam organisasi berkenaan yang jujur dan amanah melaksanakan tugas-tugasnya.

 

Di Malaysia, tidak dapat dipastikan di tahap mana rasuah berleluasa. Ada yang menyatakan ia masih di peringkat terkawal dan tidaklah seburuk seperti di sesetengah negara di mana rasuah menjadi budaya hidup. Ada pula yang menyatakan ia perlu dipandang serius ekoran peningkatan jumlah kes yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR). Apa pun, kita sedar dan yakin ia masih wujud dan menular dalam masyarakat kita sekarang.

 

Transparency International, sebuah agensi pemerhati rasuah antarabangsa, menarafkan Malaysia pada skor 4.9 dalam laporan Corruption Perceptions Index (CPI) tahun 2002. Skor 10.0 menunjukkan paling bersih manakala 0.0 paling korupsi dan rasuah. Skor 4.9 dalam CPI 2002 ini sedikit berkurang daripada CPI 2001 iaitu 5.0. Penurunan skor Ini menunjukkan tahap korupsi dan rasuah di Malaysia sedikit meningkat, walaupun masih di tahap terkawal.

Perdana Menteri baru-baru ini mengulas isu ini dengan menyifatkan ia sebagai racun. Beliau berkata, “Amalan buruk itu sepatutnya dihindari seperti racun, tetapi malangnya, masih ramai rakyat termasuk orang Melayu melihat rasuah sebagai jalan mudah untuk hidup mewah.” Timbalan Perdana Menteri pula mahu melihat gejala tidak sihat ini dibanteras sehingga ke peringkat akar umbi.  “Amalan rasuah ini perlu dikurangkan dan usaha ke arah menghapuskannya mestilah terus dilaksanakan oleh semua pihak” tegas beliau.

 

Tempias rasuah ini berlaku di mana sahaja. Satu ketika dahulu ia pernah mengegarkan arena bolasepak negara, apabila keputusan perlawanan ditentukan lebih awal oleh bookie dengan merasuah pemain. Namun kita yakin sekarang ini bolasepak kita telah bebas sepenuhnya daripada unsur negatif itu. Ia juga berlaku dalam politik iaitu politik wang. Kita tidak pasti adakah ia sudah dihapuskan sepenuhnya atau masih berlaku dalam diam.

 

Hangat diperkatakan sekarang, ia telah menjangkiti dan membarahi penjawat awam. Penjawat awam merupakan medium penghubung di antara kerajaan dan rakyat, dan mereka membawa imej dan kredibiliti kerajaan. Mereka juga menjadi tulang belakang kerajaan membangunkan negara. Keterlibatan mereka dengan rasuah sudah pasti menjejaskan imej kerajaan malah akan menimbulkan ketidakyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan itu sendiri. Ia juga boleh membantutkan usaha membangunkan rakyat dan negara. 

 

Dalam perangkaan yang dikeluarkan BPR baru-baru ini, 171 penjawat awam ditahan kerana rasuah sepanjang 2002, manakala orang awam 119 orang. Keseluruhannya, jumlah penjawat awam yang ditahan antara tahun 1998 hingga 2002 kerana salahlaku itu ialah 881 orang, berbanding 741 orang awam. BPR turut menyatakan, golongan berkedudukan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan juga didapati terlibat rasuah dan salahguna kuasa, dan mereka  menggunakan cara sofistikated bagi menyembunyikan kesalahan mereka itu.

 

Rasuah dapat dikesan berpunca daripada beberapa faktor. Antaranya ialah faktor sistem dan prosedur operasi yang membuka ruang untuk berlakunya salahlaku itu. Hal ini banyak melibatkan urusan-urusan di pejabat tanah, pejabat daerah dan PBT. Laporan pada Mei lalu menyebut BPR telah melakukan pemeriksaan setiap rekod dan dokumen di 44 pejabat tanah dan daerah, dan 31 PBT. Dapatannya, BPR menyimpulkan sikap para pegawai dan kakitangan agensi terbabit yang suka melengah-lengahkan urusan permohonan orang awam menjadi salah satu punca berlakunya rasuah.

 

Faktor kedua ialah gaya hidup mewah yang tidak termampu oleh pendapatan sendiri. Seseorang yang ingin hidup mewah memilih cara tidak bermoral itu sebagai jalan untuk mencapai keinginannya. Dia tahu dengan pendapatan yang diterimanya setiap bulan tidak memungkinkan dia hidup mewah. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kita.

 

Mengikut Seksyen 18 Akta Pencegah Rasuah 1997, individu tertentu yang disiasat perlu mengisytiharkan harta mereka dan jika siasatan mendapati ada fakta yang mencurigakan, pihak yang disiasat perlu memberikan penjelasan untuk dipertimbangkan kesahihannya. Akhbar pernah melaporkan BPR sedang menyiasat beberapa pegawai tinggi kerajaan termasuk seorang ketua pengarah berhubung salahlaku rasuah dan menjalani kehidupan mewah melebihi pendapatan bulanan mereka.

 

Tambahan pula tuntutan hidup di bandar-bandar besar turut menyumbang ke arah amalan rasuah ini. Golongan elit yang hidup di bandar-bandar besar di mana kos hidupnya amat tinggi perlu menyesuaikan diri dengan suasana dan taraf kehidupan yang mereka lalui, dan wang menjadi perkara utama untuk membolehkan mereka hidup selesa.

 

Situasi ini mungkin memberi kesan lebih parah kepada golongan yang berpendapatan sederhana atau rendah. Mereka mungkin tidak mampu menolak sekiranya ditawarkan rasuah. Contohnya, terdapat kes yang berlaku pada petugas atau penguatkuasa agensi kerajaan berkaitan lalulintas, trafik dan pengangkutan jalan. Banyak aduan diterima mengenai rasuah yang berlaku apabila pesalah lalulintas, lebuhraya atau trafik terpaksa “menyuap” untuk mengelakkan diri mereka daripada disaman atau didakwa.

 

Ini merupakan faktor ketiga menyebabkan rasuah tidak hanya berlegar di sekitar golongan elit dan berjawatan tertinggi, malah turut melibatkan golongan bawahan atau pegawai kerajaan berpangkat biasa. Pada 18 Jun lalu, media  melaporkan BPR Johor melakukan tangkapan dua pegawai rendah agensi penguatkuasan kerajaan sebaik sahaja mereka menerima rasuah sebanyak RM3,000 daripada orang awam berikutan satu kes kesalahan lalulintas.

 

Tiga faktor ini adalah sekadar pembuka mata sahaja. Banyak lagi faktor lain yang menyebabkan menularnya gejala buruk ini. Untuk menghapuskan rasuah, kita perlu memberi penekanan kepada si penerima, di mana ia adalah kunci kepada berlakunya salahlaku itu.  Diskusi di atas memberi penekanan kepada si penerima. Kalau tiada penerima maka pemberi akan dengan sendirinya menjadi berkurangan dan akhirnya tiada. Masalahnya sekarang, penerima itu sendiri yang mudah kelabu mata terhadap tawaran rasuah. Lebih ironi, ada di antara penerima itu sebenarnya meminta “disuap”.

 

Kekadang bila difikirkan, ia menjadi satu yang rumit untuk dirungkaikan. Bayangkan, antara yang pernah dilaporkan terbabit bukan sahaja anggota polis berpangkat rendah, kakitangan awam di pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan pengurusan air, agensi pengurusan dana awam, dan dalam pengurusan kolej milik yayasan, tetapi juga syarikat kontraktor binaan, pembaikan kapal terbang, dan korporat besar berkaitan besi keluli. Pernah melibatkan pengarah jabatan kerajaan, bekas ADUN dan EXCO kerajaan negeri, bekas ketua setiausaha kementerian dan bekas menteri, malah dalam urusan pengagihan subsidi diesel kepada nelayan pun dikatakan berlaku!

 

Justeru, si penerima perlu mempersiapkan diri dengan benteng kukuh yang mampu menangkis segala godaan. Pengetahuan agama dan moral yang tinggi, serta tahap keimanan yang kejap di hati mampu menahan diri daripada dibutakan dengan tarikan rasuah. Menyedari ia sesuatu yang hina dan dilaknat Allah, kita akan merasa jelek dan tidak sesekali terpengaruh dengan tawaran rasuah.

 

Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda mafhumnya, “Pemberi dan penerima rasuah itu (tempat yang sebaik-baiknya bagi mereka ialah) dalam neraka.” Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud, “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka nerakalah tempat yang layak baginya.” Pendapatan hasil rasuah amat dikutuk Islam. Ia samasekali tidak akan membawa keberkatan dalam kehidupan seharian, apatah lagi jika digunakan untuk menyara isteri dan anak-anak.

 

Demikian pandangan Islam terhadap salahlaku rasuah ini. Kita yakin semua agama selain Islam pun berpandangan serupa. Harapan kita agar pihak berwajib dapat melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi dalam membanteras gejala rasuah ini. Setiap aduan mestilah disiasat sepenuhya dan sekiranya terdapat bukti kukuh, maka pendakwaan perlu dijalankan seberapa segera. Kita tidak mahu negara runtuh dan umat hancur dan merana hasil daripada tersebarluasnya “najis” ini.

 
(Artikel ini pernah tersiar di Berita Harian, 9 Julai 2003)