| Home | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7

buah bicara minda buat mencambah idea...

Menghayati Kemerdekaan Negara

31 Ogos 2003 telah berlalu.  Sambutan kemerdekaan ke-46 tahun ini diadakan buat kali pertama di Putrajaya dan merupakan yang terakhir dihadiri oleh Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Sesungguhnya, detik keramat ini cukup besar ertinya bagi rakyat Malaysia yang diari hidupnya pernah mencatat suasana kehidupan sebelum 31 Ogos 1957. Ia menjadi saksi pejuang-pejuang bangsa menuai hasil dari keringat dan darah mereka yang tumpah demi membebaskan negara tercinta dari belenggu penjajahan.

Bagi mereka yang lahir selepas merdeka, 31 Ogos sebenarnya menjadi titikmula ke arah meningkatkan semangat patriotisme dan jatidiri rakyat Malaysia demi mewarisi dan meneruskan perjuangan bangsa.

 

Setelah 46 tahun kita merdeka, telah banyak perubahan dan kemajuan yang dicapai negara. Meningkatnya umur kita saban tahun, semakin banyak pencapaian membanggakan dicatatkan negara dan rakyat selaras dengan semangat Malaysia Boleh!

 

Pembangunan pesat dan pencapaian luar dugaan rakyat Malaysia cukup menonjol semasa berada di bawah tampuk pemerintahan Perdana Menteri kita Dr. Mahathir Mohamad iaitu selama hampir separuh dari umur merdeka negara.

 

Di sebalik kita meraikan pencapaian dan kemajuan negara setelah 46 tahun merdeka, kita perlu akui ada sudut dan ruang yang masih perlu diperbaiki demi mengecapi nilai dan erti kemerdekaan sebenarnya.

 

Jangan kita tersilau dengan semua kemajuan dan pembangunan yang telah dicapai sehingga menghalang pandangan kita menembusi dan mengerti situasi sebaliknya yang turut sama bercambah.

 

Senarai panjang “kejayaan” kita dalam perkara sebaliknya perlu diberi perhatian serius. Usaha berterusan ke arah penyelesaian atau meminimakan “pencapaian” tersebut perlu diperkemaskan.

 

Peningkatan kadar jenayah termasuk jenayah seksual yang menakutkan, gejala kebejatan moral muda mudi dan tahap disiplin pelajar yang membimbangkan, dan juga peningkatan kes salahlaku rasuah yang memualkan adalah contoh “pencapaian” tersebut.

 

Banyak lagi yang tidak disenaraikan di sini. Kita semua sedar dan tiada seorang pun yang hanya memandang sebelah mata terhadap apa yang berlaku di sekeliling.

 

Harapan kita hanya satu. Kita mahu menikmati dan menghayati kemerdekaan yang telah dicapai dalam ertikata, maksud dan nilai yang sebenarnya.

 

Kemerdekaan sebenar terisi dengan kebebasan fikiran dan tindakan, peningkatan kualiti dan taraf hidup, keselamatan rakyat terjamin dan terbela, keadilan sosial berada ditempatnya, pengagihan kekayaan ekonomi dan pendapatan yang adil dan saksama, serta kemajuan yang berjatidiri.

 

Semua ini terhasil apabila pembangunan negara seiring dengan peningkatan jiwa dan rohaniah rakyatnya. Kemajuan yang bersifat maddiyah akan hanya merosakkan sekiranya tidak dipandu akal yang bebas dan merdeka.

 

Pembangunan fizikal akan tempang tanpa diiringi keluwesan budaya berfikir dan bertindak. Begitu juga segenap pencapaian memerlukan arahpandu yang jelas dan mantap.

 

Cabaran utama kita sekarang ialah untuk mengisi kemerdekaan yang telah dicapai dengan sebaik-sebaiknya.

 

Kita memerlukan anjakan paradigma ke dimensi baru yang berkisar tentang nilai, budaya dan sistem hidup mengikut acuan kita sendiri.

 

Pengisian kemerdekaan harus dipandu akal dan jiwa yang sejahtera. Inilah harapan dan aspirasi rakyat untuk menghayati kemerdekaan negara.

 

(artikel di atas pernah tersiar di MASSA bil. XXX Tarikh - nanti aku balik rujuk koleksi massa aku)

 

Back to blog