Isu kebejatan moral pelajar bukanlah sesuatu yang baru. Ia sudah lama wujud dan
dikatakan semakin bercambahbiak. Seperti yang ditimbulkan media baru-baru ini berkenaan kes pukul pelajar dan gangsterisme,
ia adalah sekadar tip of the iceberg.
Beberapa siri “luahan”
guru-guru dalam ruangan surat pembaca/forum yang tersiar di dada akhbar setakat menambahkan rencah cerita perihal situasi
yang sebenar.
Satu perkara yang dapat
disimpulkan apabila membaca luahan guru-guru ini ialah mereka cukup terbeban dengan semua tugas yang ada. Bukan mereka mempertikaikan
tanggungjawab yang diberi, tetapi sekadar mahu memberitahu.
Semua harus sedar, guru
adalah orang yang mendidik anak-anak kita menjadi manusia. Namun, guru hari ini tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.
Asal ada sahaja berlaku
salahlaku disiplin, maka gurulah puncanya dikatakan tidak mendidik pelajar dengan betul. Asal ada sahaja masalah pelajar di
sekolah, gurulah penyebabnya dikatakan tidak menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Dalam keadaan pelajar
sekarang yang semakin berani mencabar, mengugut dan memaki guru, mencalarkan atau memancitkan tayar kereta guru, malah dibela
dan disokong pula oleh ibu bapa pelajar terbabit dengan membuat laporan polis, atau menyaman guru atas setiap tindakan yang
dikenakan terhadap anak-anak mereka, ia sudah cukup untuk mengikatkunci tangan guru dari mendidik dengan sepenuh hati mereka.
Inilah yang dikatakan
dilema yang dihadapi guru sekarang. Ketidakadilan ini tidak harus dibiar berpanjangan, kerana antara kesannya ialah pendidikan
dan pengajaran tidak akan mencapai matlamat yang diharapkan.
Seorang kolumnis akhbar
tempatan dalam rencananya pernah menyatakan mengapakah remaja sekarang gagal menghayati Rukunegara kelima iaitu Kesopanan
dan Kesusilaan?
Beliau selanjutnya menyarankan
pelajar yang bermasalah dihantar ke pusat pemulihan akidah supaya mereka kembali mengenal Tuhan, dan dengan itu akan memiliki
sifat-sifat mulia.
Kegagalan dalam menghayati Kesopanan dan Kesusilaan oleh pelajar-pelajar sehingga menyebabkan mereka terlibat dalam salahlaku disiplin
sebenarnya berkaitrapat dengan sistem pendidikan kita sekarang.
Guru hanya pelaksana dasar dan polisi yang ditetapkan
Kementerian. Maka punca sebenar masalah ini mungkin boleh dikenalpasti dengan meneliti dan menghalusi kembali sistem pendidikan
kita.
Mungkin di sana ada sudut
dan ruang dalam sistem pendidikan sedia ada yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan demi mewujudkan generasi pelajar yang
seimbang rohani dan jasmani, akademik dan sahsiah, emosi dan intelek mereka.
Ia sekaligus mewujudkan
suasana pendidikan yang berteraskan kecemerlangan dalam segenap aspek dan dijelmakan dalam bentuk etika dan nilai-nilai murni
sebagai seorang manusia.
Falsafah Pendidikan Negara,
yang merakamkan objektif yang ingin dicapai melalui sistem pendidikan sekarang, dipetik sebahagiannya berbunyi “...untuk
mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan......bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri...”
Tidak dinafikan, penekanan
yang serius diberikan oleh semua pihak, dari peringkat Kementeriannya sehinggalah kepada guru-gurunya, untuk memastikan kecemerlangan
akademik pelajar.
Namun usaha keras guru-guru
dalam urusan pembinaan sahsiah dan disiplin pelajar harus dibantu Kementerian dengan merangka dan membentuk dasar-dasar yang
supportive dan constructive.
Selain memberi penekanan
kepada subjek-subjek yang dianggap kritikal seperti Sains dan Matematik, penekanan yang sama perlu diberi kepada Pendidikan
Islam/Moral.
Contohnya, Ujian Penilaian
Sekolah Rendah (UPSR) hanya melibatkan subjek Bahasa Melayu (Pemahaman dan Penulisan), Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik
sahaja, dan tiada Pendidikan Agama/Moral. Sejak sekolah rendah lagi Pendidikan Agama/Moral ditonjolkan sebagai tidak penting.
Apatah lagi dalam sistem
pendidikan yang berteraskan exam-oriented, pelajar akan hanya menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran yang penting
sahaja kerana hendak mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Justeru, pelajaran Agama/Moral
akan terabai. Ini berlanjutan hingga ke peringkat menengah di mana kita lihat saban tahun peratus kelulusan matapelajaran
Agama di dalam PMR dan SPM semakin menurun.
Pendidikan Agama/Moral
perlu diberi imej “kritikal” seperti subjek lain. Melalui matapelajaran
ini, usaha ke arah membentuk peribadi dan rohani pelajar dapat dipertegaskan. Ini menjamin perkembangan selari pendidikan
akademik dan sahsiah pelajar sekaligus menjadi pemangkin ke arah mewujudkan pelajar yang seimbang intelek, rohani, jasmani
dan emosi mereka.
Ini juga sebenarnya selaras
dengan sistem pendidikan Islam. Sistem Pendidikan Islam, selain memberi keutamaan kepada ilmu Fardhu Ain, ia turut menekankan
ilmu Fardhu Kifayah.
Ilmu Fardhu Ain merangkumi
Tauhid (Aqidah), Feqah, dan Akhlak serta penguasaan Al-Quran. Ini adalah batu asas mendidik seorang manusia. Penguasaan ilmu
Fardhu Ain menjamin kehidupan manusia yang baik hubungannya dengan Tuhan, diri sendiri, masyarakat dan alam sekitar. Ia menekankan
konsep ketuhanan dan diterjemah dalam bentuk ibadah dan akhlak.
Manakala Fardhu Kifayah
adalah ilmu-ilmu yang menjamin keberlangsungan kehidupan manusia, dan mengatur sistem sosial, ekonomi dan keadilan dalam masyarakat.
Ia seperti matapelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi, dan lain-lain. Malah, sebenarnya
semua ilmu Fardhu Kifayah ini akan membantu dan memperkukuh ilmu Fardhu Ain, sekiranya diadun dan dicerna dengan betul.
Kes-kes salahlaku disiplin
timbul apabila Pelajaran Agama/Moral dikesampingkan dari fokus dan tumpuan pelajar.
Jadilah mereka pelajar yang degil, pemarah, keras hati dan bebal. Ditambah dengan tekanan untuk mencapai keputusan cemerlang
dalam peperiksaan, maka emosi mereka menjadi tidak terkawal.
Kosongnya dada mereka
dari agama dan moral, mereka menjadi tidak kenal Tuhan, tidak tahu batas-batas agama dan akhlak, tidak tahu mematuhi guru
dan ibu bapa, tidak mahu belajar dan beramal, mudah terpengaruh dengan budaya negatif, dan terdedah kepada salahlaku disiplin.
Akhirnya, yang terhasil ialah generasi yang tempang dan gagal.
Buah daripada tiada penekanan agama sudah pun dituai
sekarang ini. Banyak salahlaku pelajar yang berlaku seperti masalah disiplin, ponteng sekolah, gangsterisme, merokok dan salahguna
dadah, seks bebas, dan lain-lain adalah contohnya.
Kalau pun ada pelajar
yang cemerlang akademiknya, maka mereka yang lahir nanti ialah ahli profesional yang tidak beretika dan bertanggungjawab.
Seorang pensyarah pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia pernah berkata “Sistem pendidikan yang menekankan aspek akademik dan keintelektualan
semata-mata hanya akan melahirkan produk (individu) berkelulusan akademik cemerlang, tetapi kosong dari aspek etika dan nilai-nilai
murni sebagai seorang manusia.” (Massa: Bil. 384).
Mungkin sudah sampai masanya
kita kembali memartabatkan agama dan moral dalam sistem pendidikan kita.
(Artikel di atas pernah tersiar di Berita Harian, 10 September 2003)