| Home | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7

buah bicara minda buat mencambah idea...

Faktor Kemunduran Umat Islam
 
Keadaan umat Islam pada masa sekarang walau di mana mereka berada termasuklah di Malaysia cukup menyedihkan. Umat Islam mundur dari segi pembangunan dan tamadunnya. Ini berlaku dalam setiap segi, sama ada dari sudut agama, akhlak, kebendaan, keduniaan dan sebagainya.
 
Cara umat Islam beragama tidak mengikut neraca Islam yang sebenar, akhlak dan nilai-nilai murni mereka tidak diberi penghormatan dan tidak mempunyai nilai kesucian. Ekonomi mereka tidak membanggakan, begitu juga dari segi ketenteraan, perindustrian, politik, sosial dan lain-lain.
 
Dalam keadaan sedemikian, ukuran hidup umat Islam dinilaikan berdasarkan kebendaan, kepentingan harta, keuntungan material, kemewahan, keseronokan, dosa dan noda serta menimbulkan keraguan terhadap agama dan nilai-nilai akhlak Islam. Penekanan kepada aspek luaran agama menyebabkan agama itu mati, rohnya hilang, hati nurani manusia menjadi keras dan buahhasilnya adalah amal ibadat yang tidak mencegah kemungkaran, percampuran yang hebat di antara kesesatan, bid’ah dan khurafat.
 
Faktor dan punca kemunduran umat Islam ialah kerana masyarakat Islam mengabaikan tanggungjawab asas dalam Islam; amar makruf nahi mungkar (menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah dari berbuat kemungkaran). Sikap tidak mengapa atau tidak kisah semakin menebal di kalangan umat Islam, malah terdapat sebahagian besar yang bertindak sebaliknya iaitu menyuruh berbuat kemungkaran, dan mencegah dari berbuat kebaikan. Umat Islam juga meninggalkan kewajipan berjihad terhadap musuh Islam, musuh dari kalangan pembenci Islam sama ada golongan kafir atau golongan yang beragama Islam itu sendiri. Mereka menghina hukum-hukum Allah, meragui kebolehan agama sebagai penyelesai masalah, dan meletakkan agama di tempat yang tidak dihormati.
 
Faktor lain ialah kerana umat Islam cetek ilmu dan pengetahuan Islam yang berpunca dari hilangnya rasa keperluan dan kehendak kepada peningkatan ilmu. Ilmu-ilmu asas seperti Fardu Ain, Bahasa Arab, Al-Quran dipandang remeh dan dipinggirkan. Manakala ijtihad sebagai pintu pembaharuan ilmu dan pengetahuan pula tidak dimanfaatkan sepenuhnya, malah umat Islam terikut-ikut dengan taklid buta dan kebergantungan terhadap usaha dan penemuan ulama lampau dalam tradisi keilmuan. Ini melahirkan umat yang bukan sahaja dangkal ilmu Islam, malah turut terkebelakang dalam penguasaan ilmu-ilmu keduniaan seperti ekonomi, sains, politik, sosial, kejuruteraan dan teknologi maklumat.
 
Selain itu, ia turut berpunca dari krisis keyakinan umat terhadap amalan dan nilai-nilai akhlak Islam yang mampu memelihara diri mereka dari terjerumus dalam lembah kesesatan, penyelewengan, hasad dengki, mengikut hawa nafsu, menipu, pergaulan bebas, bersekedudukan, berfoya-foya dan lain-lain. Malah mereka menganggap mengikut nilai agama itu sebagai kolot, ketinggalan zaman serta terpencil.
 
Faktor-faktor di atas amat berhubung kait di antara satu sama lain. Ia merupakan punca mengapa umat Islam menjadi mundur dan terkebelakang dalam segenap segi. Untuk mereka kembali mengecapi kegemilangan tamadun Islam seperti yang pernah dibuktikan oleh Rasulullah SAW dan para Khulafa al-Rasyidiin, maka mereka perlu kembali kepada kehidupan beragama dan meyakini Islam sebagai penyelesai masalah umat.
 
(Artikel ini adalah berdasarkan tulisan Dr. Wahbah Zuhaily seperti yang pernah tersiar dalam majalah Al-Manar, edisi Jun 1997)