| Home | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7

buah bicara minda buat mencambah idea...

Kementerian Kesihatan Diseru Tingkatkan Professionalisme
 
Kesihatan merupakan perkara asas dalam masyarakat. Usaha kerajaan melalui Kementerian Kesihatan, dibantu kementerian dan agensi lain untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat disokong penuh rakyat. Langkah kerajaan mewujudkan hospital khas untuk wanita dan kanak-kanak menjelang tahun 2007 nanti adalah bijak. Hospital yang bakal menyediakan kepakaran tinggi dan menjadi pusat rujukan nasional bagi merawat wanita dan kanak-kanak itu dijangka mampu mengatasi masalah kekurangan peralatan dan kepakaran yang dihadapi sesetengah hospital kerajaan selama ini.

Kisah adik Mazieharita Elyana Mokhtar yang menderita sakit ketumbuhan di tengkuknya menarik perhatian saya. Dilaporkan beliau pernah dua kali merujuk ke Pusat Pediatrik Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan, namun gagal. Alasan yang diberi HKL ialah kekurangan katil di wad berkenaan, selain mesin pembedahan yang tidak berfungsi. Adik Mazieharita kemudian dirawat di Hospital Kuala Terengganu, dan akhirnya meninggal pada 18 Jun lalu setelah mengalami kesukaran bernafas.

Jika ditangani dengan baik di peringkat awal, kes ini mungkin tidak akan berakhir sedemikian. Memanglah kita tidak mampu menentukan ajal maut seseorang itu, namun tindakan pantas mungkin boleh menyelamatkan nyawa. Saya ketengahkan isu ini kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan professionalisme Kementerian Kesihatan.

Apabila Pengarah Hospital Jitra mengakui berlaku kecuaian dalam pemindahan darah kepada seorang suri rumah sehingga mengakibatkan dia menerima darah tercemar HIV, ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap professionalisme kementerian berkenaan. Kes tuntutan ganti rugi suri rumah itu masih dibicarakan di mahkamah.

Kecuaian juga mengakibatkan tangan kiri adik Nurul Syafiqah Abd. Jalil terpaksa dipotong akibat gangren selepas diberi suntikan oleh seorang kakitangan hospital kerajaan di Pulau Pinang. Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Azmi Shapie menyatakan bahawa kakitangan hospital terbabit telah pun diambil tindakan tatatertib.

Begitu juga dengan kes Norzuraiffa Othman, bayi berusia 14 hari yang kaki kirinya terpaksa dipotong kerana menjadi lebam kehitaman dan berbau busuk setelah dirawat di Hospital Kota Bharu. Ibu bapa bayi tersebut telah membuat laporan polis terhadap HKB meminta penjelasan lanjut.

Kes-kes seperti ini dilihat boleh menjejaskan kredibiliti dan professionalisme Kementerian Kesihatan. Kita tidak mahu kes-kes sedemikian memadamkan kejayaan-kejayaan yang pernah dicatatkan kementerian berkenaan. Langkah pantas dan bijak Kementerian Kesihatan berjaya membendung wabak SARS daripada menular di negara kita. Begitu juga dengan kejayaan hospital kerajaan melakukan pembedahan memisahkan kembar siam Azama dan Azami, Nur Ain Dalila dan Nur Anis Dalila, dan ramai lagi. Dilaporkan HKL telah berjaya melakukan sembilan pembedahan kembar siam, manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya tujuh. Hospital Selayang mencatat sejarah menjadi hospital pertama di dunia berjaya melakukan pemindahan tangan ke atas seorang bayi perempuan tidak lama dulu.

Demikian juga dengan kisah kematian adik Sofea Qhairunnissa yang membuka mata ramai pihak bahawa pentingnya kerajaan menubuhkan satu badan khas yang boleh membiayai rawatan pesakit kronik. Tabung Kebajikan Kesihatan Kebangsaan (TKKK) di bawah Kementerian Kesihatan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan RM5 juta, dan Bajet 2003 yang dibentangkan PM memperuntukkan RM100 juta. Adik Sofea menderita tiada saluran hempedu ke hatinya, dan meninggal dunia setelah tidak dapat menjalani pemindahan hati ekoran wang sumbangan belum mencukupi dan kerenah pusat rawatan swasta tertentu.

Selepas TKKK ditubuhkan, timbul isu yang lain pula. Kelambatan badan ini mengeluarkan bantuan rawatan kepada pesakit kronik mula diperkatakan. Ia juga menjadi punca sehingga menyebabkan kematian adik Muhammad Nabil yang menderita sakit yang sama seperti adik Sofea.

Adik Fakhrul Radzi Rosdi juga menghidap penyakit yang sama. Kerenah birokrasi menjadi punca kelambatan beliau menerima sumbangan membiayai pembedahannya. Mujurlah keprihatinan beberapa pihak tertentu dan rakyat Malaysia seluruhnya mengumpul wang sumbangan serta pengorbanan Muhamad Nasir Zakaria menderma sebahagian hatinya membolehkan adik Fakhrul menjalani pembedahan. Dia dilaporkan sihat dan ceria sekarang.

Berita ramai pesakit kronik yang memerlukan pembedahan segera tetapi terpaksa menangguhkannya dahulu kerana sukar mendapatkan bantuan TKKK dan Tabung Yayasan Kebajikan Negara (TYKN) seperti yang disiarkan baru-baru ini, turut memberi tempias kepada kementerian berkenaan.

Ketelusan dan kecekapan Kementerian Kesihatan dalam menguruskan permohonan persakit-pesakit kronik kian dipersoalkan. Pengurusan TKKK disifatkan begitu lembab, ditambah pula kerenah birokrasi yang leceh turut menjadi punca. Menurut laporan, setakat ini terdapat tujuh kes pesakit kronik yang dirujuk ke TKKK namun masih tiada respons sewajarnya.

Kita puji langkah media massa yang sentiasa menyiarkan kisah penderitaan pesakit kronik yang memerlukan bantuan kewangan untuk membiayai rawatan. Tambahan pula masyarakat Malaysia terkenal dengan sifat pemurah dan dermawan. Namun Kementerian Kesihatan dilihat seolah-seolah mahu menyekat peranan mulia yang dimainkan media apabila mengenakan syarat agar semua media massa perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan terlebih dahulu sebelum memulakan kempen memungut derma serta sumbangan berkenaan perlu disalurkan kepada TKKK.

Tindakan sebegini tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada rakyat. Ramai pesakit kronik beralih ke media meminta disiarkan kisah mereka setelah tidak mendapat reaksi sepatutnya dari pengurusan TKKK dan TYKN. Mereka memerlukan bantuan segera namun kelembapan dan kerenah birokrasi mengecewakan mereka.

Kita mengharapkan Kementerian Kesihatan memberi perhatian serius untuk menyelesaikan isu ini. Sebarang permohonan daripada pesakit kronik perlu diproses segera. Rakyat perlu dijelaskan prosedur dan kaedah yang perlu diikuti untuk mendapatkan bantuan tersebut. Ia mestilah mengambilkira keadaan pesakit di mana sekiranya memerlukan rawatan segera dan sebarang kelambatan boleh mengancam nyawa, maka dia tidak perlu melalui prosedur biasa.

Kita tidak mahu lagi mendengar kisah kehilangan nyawa akibat dari kelambatan menerima bantuan kewangan dari TKKK atau TYKN. Peruntukan RM100 juta itu perlu digunakan sepenuhnya untuk membiayai rawatan pesakit kronik.

Antara yang mengharapkan bantuan sekarang ialah adik Nurul Amalyna Abu Bakar yang menghadapi masalah bengkok tulang belakang. Beliau kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan masih menunggu bantuan untuk menjalani pembedahan yang dianggar membabitkan kos sebanyak RM18,000. Doktor mengesahkan tulangnya membengkok hampir 40 cm dan tahap kritikal adalah 80 cm. Jika dia tidak dibedah segera, Nurul Amalyna akan mengalami kesukaran bernafas kerana paru-parunya akan terhimpit.

Begitu juga Mohd Aidil Zikri Mohd Kamil yang dilahirkan dengan jantung diluar. Adik Aidil telah menjalani pembedahan pertama untuk menstruktur kembali kedudukan jantung, hati dan pusatnya pada awal Jun lalu dan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi HKL. Difahamkan kos pembedahan pertama itu mencecah RM20,000. Dia dijangka akan menjalani dua lagi pembedahan termasuk untuk menutup lubang jantungnya yang dianggarkan menelan kos yang sama.

Dua kes ini jika ditangani sewajarnya mungkin memulihkan kembali imej Kementerian Kesihatan dan Yayasan Kebajikan Negara. Begitu juga kes-kes lain yang masih tertangguh. Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat melalui Yayasan Kebajikan Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga boleh bekerjasama memainkan peranan mengenalpasti keluarga pesakit kronik yang memerlukan bantuan. Kerjasama erat ketiga-tiga kementerian ini mampu meningkatkan taraf kesihatan rakyat.

Janganlah nanti kita dikatakan bersikap “pilih bulu” dalam memberikan bantuan rawatan kepada rakyat. Pengarang sebuah akhbar tempatan pernah menyifatkan “kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan” dalam mengulas bantuan dan layanan yang kerajaan sediakan pada Ya Yasmin, kanak-kanak Iraq yang hilang kedua belah kakinya setelah terkena serpihan bom tentera penceroboh.

Kita tidak mempertikaikan usaha murni kerajaan itu, tetapi kita mengharapkan layanan yang setara diberikan kepada mana-mana pesakit yang memerlukan bantuan. Media pernah menyiarkan kisah Norashikin Md. Noh yang dilahirkan tanpa kaki. Bertahun-tahun dia diusung ke sana ke mari oleh ibu bapanya dalam sebuah baldi kerana tidak mampu membeli kerusi roda. Setelah kisahnya disiarkan, barulah dia mendapat sumbangan kerusi roda.
 
(Artikel di atas pernah tersiar di Utusan Malaysia, 24 Jun 2003)