| Home | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7

buah bicara minda buat mencambah idea...

Islam Liberal
 
Apakah Islam Liberal?

Definisi liberal menurut Kamus Dewan (DBP,
Kuala Lumpur:
  • (bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan demokratik (misalnya menentang hak-hak keistimewaan kaum bangsawan), (fahaman) bebas.
  • bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kepada aliran pemikiran dan sebagainya).

Islam sendiri adalah agama yang bersifat liberal. Ciri2 keliberalan Islam ialah:

  • membebaskan manusia daripada perhambaan dan penyembahan sesama makhluq,
  • membebaskan manusia daripada penindasan, kezaliman dan penghinaan sesama manusia,
  • terbuka terhadap sebarang peradaban manusia selagi ia tidak melibatkan perbuatan menyekutukan Allah (syirik), perbuatan yang menyalahi syariat Allah, dan kepercayaan yang merendahkan kedudukan manusia hingga ke taraf kebinatangan.

Justeru, kenapakah fahaman "Islam Liberal" muncul? Apakah Islam yang diturunkan Allah tidak cukup liberal bagi mereka yang menganut fahaman ini?

Sebenarnya, liberalnya "Islam Liberal" adalah kerana fahaman ini mengamalkan ciri keterbukaan dan kebebasan yang melampaui daripada yang telah ditetapkan oleh batasan syariat Islam yang diturunkan Allah.

Kelahiran fahaman Islam Liberal

Fenomena penjajahan negara-negara umat Islam oleh kuasa Barat serta fenomena tahap penguasaan sains dan teknologi umat Islam yang jauh terkebelakang berbanding Barat adalah dua situasi yang dihadapi oleh umat Islam sejak lebih kurang seabad yang lalu.

Dalam menghadapi situasi ini, sikap yang diambil umat Islam boleh dirumuskan kepada empat, iaitu:

1. Putus asa dalam kehidupan dunia

Terdapat umat Islam menjadi putus asa dan merasa rendah diri terhadap situasi yang berlaku menerimanya sebagai ketentuan yang sememangnya telah ditetapkan untuk memundurkan mereka.

2. Pemisahan agama dari kehidupan harian

Terdapat umat Islam yang berpendapat agama menjadi faktor penghalang bagi mencapai kemajuan. Justeru, agama mesti dipisahkan daripada kehidupan seharian melalui formula sekularisme yang terbukti berkesan dan berjaya dilakukan oleh Barat.

3. Membebaskan diri dari agama melalui penafsiran semula

Terdapat umat Islam yang turut berpendapat bahawa agama menjadi faktor penghalang mencapai kemajuan, namun penyelesaian yang mereka ambil adalah dengan membuka dan membebaskan agama Islam yang sebenar yang telah menjadi pegangan sejak zaman Nabi dahulu lagi. Mereka menganggap belenggu kejumudan umat Islam dalam menafsirkan dan mempraktikkan semula ajaran agama adalah penyebab kelemahan dan kemunduran umat Islam. Golongan inilah yang menganut fahaman Islam Liberal.

Kelompok Islam Liberal ini sebenarnya dihantui oleh perasaan inferiority complex dan dengan situasi penjajahan dan ketinggalan umat Islam sekarang, dan perasaan tergiur serta menyembah peradaban Barat yang maju sehinggakan menjadikan mereka hilang jati diri sebagai Muslim yang sebenar.

4. Berpegang teguh dengan agama

Namun terdapat sebahagian umat Islam yang terus memegang teguh dengan agama, dan menganggap bahawa agama bukanlah penyebab kemunduran dan kelemahan umat Islam. Punca utamanya ialah kerana umat Islam sendiri yang meninggalkan ajaran agama mereka sebenar.

Bagi mereka, kekuatan dan dan kejayaan hendaklah berteraskan neraca wahyu Ilahi yang berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya mengikut acuan Barat yang berteraskan materialisme dan hawa nafsu.

Golongan yang keempat inilah yang benar dan insyaAllah, dengan kesungguhan mereka, maka keagungan dan kekuatan Islam akan kembali ke tangan umat Islam.

Manhaj Islam Liberal

1. Manhaj Islam Liberal terhadap agama Islam

  • Berpendapat agama Islam agama yang benar, tetapi pada masa yang sama mengakui agama selain Islam juga benar.
  • Dakwaan sesuatu agama itu yang paling benar dan agama yang lain adalah salah, adalah bersifat relatif dalam konteks agama itu sahaja.
  • Umat Islam tidak perlu menumpukan usaha membenarkan agama Islam, tetapi perlu meningkatkan kemajuan dan pencapaian umat Islam
  • Kesamaan antara agama adalah satu perkara yang boleh diterima

2. Manhaj Islam Liberal terhadap al-Quran

  • Wahyu dibahagikan kepada dua iaitu wahyu bertulis (teks al-Quran) dan wahyu tidak bertulis (akal)
  • Akal yang menghidupkan teks al-Quran, menjadikan penafsiran al-Quran sentiasa terbuka bergantung kepada tujuan, konteks, suasana zaman
  • Islam yg bersifat qat’ie (jelas) contohnya seperti hukum hudud (memotong tangan bagi yang mencuri) adalah hukuman yang ditafsirkan dari al-Quran mengikut keadaan pada waktu tersebut, dan ia boleh diubah suai mengikut keadaan selari dengan peradaban manusia pada zaman sekarang.
  • Pegangan utama Islam Liberal ialah membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran mengikut perubahan keadaan, masa, suasana dan tempat
  • Menyifatkan kepercayaan kepada malaikat, syaitan, syurga, neraka, hari akhirat, cerita umat terdahulu hanyalah tahyul yang menghalang kemajuan umat.

3. Manhaj Islam Liberal terhadap Rasulullah SAW

  • Rasulullah SAW hanyalah manusia biasa yang mempunyai kemampuan memimpin manusia lain
  • Seperti manusia biasa lain, Rasulullah turut membuat silap (tidak maksum). Baginda boleh dikritik dan dipertikaikan, dan umat Islam disaran supaya bersikap kritis dalam menimbangakan kebaikan dan kekurangan baginda
  • Terdapat tokoh2 Islam Liberal yang secara terang-terangan berani mengkritik Rasulullah seperti Rasulullah menyimpan gundik dan bernafsu seks kuat.
  • Sunnah Rasulullah seperti menyimpan janggut, berserban, memakai jubah, hanya relevan untuk masyarakat Arab pada zaman baginda sahaja, dan tidak lagi pada masa sekarang.
  • Kemukjizatan Rasulullah (seperti kisah Israk dan Mikraj) hanyalah cerita-cerita rekaan yang diperbesar-besarkan selepas kewafatan baginda.

4. Manhaj Islam Liberal terhadap al-Hadith

  • Semua hadith2 termasuk yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan ulama hadith terulung yang lain adalah tidak berasal dari Rasulullah, melainkan ciptaan mereka sendiri untuk kepentingan mereka
  • Hadith yang benar hanyalah hadith mutawatir, manakala hadith ahad bersifat samar-samar, dan tidak menjadi tuntutan berpegang kepadanya
  • Kebenaran hadith mutawatir hanyalah tertakluk dalam konteks masyarakat Arab pada zaman Rasulullah dan tidak lagi relevan pada masa sekarang
  • Hadith2 tentang azab kubur, suasana di hari akhirat (seperti padang Mahsyar, titian Sirat & hari pengadilan), Israk dan Mikraj, Dajal, penurunan Nabi Isa, fitnah akhir zaman hanyalah cerita rekaan para perawi hadith untuk mempengaruhi orang ramai pada zaman mereka

5. Manhaj Islam Liberal terhadap ilmu-ilmu Islam

  • Disiplin ilmu penting dalam Islam seperti Tafsir, Usul Tafsir, Usul Fiqh, Usul Hadith, al-Jarh wa al-Ta’dil (kritik perawi hadith) dan sebagainya adalah ilmu2 remeh buatan manusia dan tidak sunyi dari kesilapan dan kecacatan
  • Oleh yang demikian, penafsiran ulama muktabar berdasarkan disiplin ilmu-ilmu tersebut perlu dibuka dan dibebaskan semula
  • Hasilnya, ulama muktabar yang menguasai displin ilmu tersebut turut diperolokkan sebagai penyembah teks yang mereka-reka kaedah pemahaman al-Quran mengikut citarasa mereka sendiri.

6. Manhaj Islam Liberal terhadap hukum-hukum Fiqh

  • Tujuan hukum menjadi perkara pokok dalam fahaman Islam Liberal, bukan bentuk hukuman. Justeru, hukum boleh diubah-ubah asalkan memenuhi matlamat dan tujuan hukum tersebut dilaksanakan
  • Hukum hukum yang jelas dinyatakan dalam al-Quran seperti hudud, talaq, minum arak, sembahyang, puasa, zakat dan haji, pembahagian faraid dan lain-lain boleh diubahsuai mengikut keperluan dan keselesaan mereka
  • Contoh paling mahsyur ialah Islam Liberal membebaskan tafsiran hukum fiqh dalam kewajipan menutup aurat wanita, di mana mereka mendakwa memakai tudung (yang menutup aurat wanita iaitu rambut dan dada) itu adalah peradaban masyarakat Arab pada zaman Nabi sahaja, dan tidak merupakan kewajian agama. 

Kewujudan Islam Liberal di Malaysia

 

Aliran ini sebenarnya telah pun wujud di Malaysia, namun mereka tidak menggunapakai nama “Islam Liberal.” Tokoh-tokoh penggerak aliran tersebut tidak perlu diperkenalkan lagi kerana mereka sudah sedia terkenal dan sering menulis rencana di akhbar-akhbar perdana mahupun majalah-majalah tertentu.

 

Berbanding dengan tokoh-tokoh terawal yang memperkenalkan aliran ini dengan cara mendadak dan drastik, tokoh-tokoh pada masa sekarang mengemukakannya secara bertahap dan berlapik dengan susunan bahasa yang dapat memikat keyakinan masyarakat awam.

 

Antara ayat yang sering digunapakai dalam melapik perbahasan mereka ialah:

“Tujuan kami hanya untuk membuka fikiran…”

“Kami hanya ingin membebaskan umat yang selama ini dibelenggu oleh tafsiran lama…”

“Dalam bab ini terdapat perbezaan pendapat yang amat besar…”

“Tidak ada ayat Quran yang jelas dalam bab ini…”

“Hadis-hadis saling bertentangan sehingga tidak dapat dipastikan kebenaran…”

“Ini bukanlah dari hal-hal muktamad agama…”

“Kami hanya membandingkan antara beberapa pendapat yang sedia ada…”

“Perbincangan ini bertujuan meningkatkan kematangan umat dalam beragama…”

dan pelbagai lagi.

 

Dr Yusuf Al-Qaradhawi pernah menulis mengenai Islam Liberal:

 

“Di antara masalah yang paling penting yang sering saya peringatkan dalam beberapa buku yang saya tulis adalah berkenaan dengan musuh-musuh pemikiran Islam yang menciptakan keraguan terhadap ajaran agama Islam yang sudah dapat diyakini kebenarannya tanpa ragu (musallamat), dan berusaha mengubah perkara-perkara yang diyakini (yaqiniat) kebenarannya dan pasti, menjadi perkara-perkara yang tidak pasti dan hipotetif (dzhanniaat), serta hal-hal yang pasti dan kuat (qathi’at) menjadi tidak pasti dan mengandungi pelbagai kemungkinan (muhtamalat), yang dapat diambil atau ditolak, ditarik atau dilepas, dan dapat mengikuti pendapat kanan-kiri.”

 

Apa tindakan kita

 

Tidak ada cara mudah menangani aliran ini melainkan kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami ilmu agama dari tokoh-tokoh agama yang ikhlas dan jujur serta mendapat hidayah dari Allah.

 

Dalam masa yang sama, kita hendaklah selalu memanjatkan doa kepada Allah agar diberikan hidayah ke jalan yang benar dan dipelihara dari jalan kesesatan. Sesungguhnya jalan menuju kebenaran itu satu sahaja dan jalan kesesatan itu teramatlah banyak.

(Semua tulisan di atas dirujuk dari tulisan sdr. Hafiz Firdaus Abdullah, dan menjadi tumpuan utama Majalah i, keluaran Ogos 2004.)